Membaca adalah satu tindakan komunikasi iaitu satu proses berfikir yang melibatkan idea, kenyataan dan perasaan yang disampaikan oleh penulis kepada pembaca melalui perantara lambang-lambang bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:143).
Menurut Farida Rahim 2005, definisi membaca mencakupi 3 aspek:
- Membaca merupakan suatu proses. Maksudnya adalah informasi dari teks dan pengetahuan yang dimiliki oleh pembaca mempunyai peranan utama dalam membentuk makna.
- Membaca adalah strategi. Pembaca yang efektif menggunakan berbagai-bagai strategi membaca yang sesuai dengan teks dan konteks dalam rangka mengkonstruk makna ketika membaca. Strategi ini bervariasi yang sesuai dengan jenis teks dan tujuan membaca.
- Membaca merupakan interaktif. Keterlibatan pembaca dengan teks bergantung pada konteks. teks yang dibaca pula harus mudah difahami sehingga menjadi interaksi antara pembaca dengan teks.
Membaca juga merupakan proses memahami atau membina pemahaman kerana kita belum membaca jika belum memahami. ( Nik Safiah Karim, 1985).
Membaca memerlukan pentafsiran serta pemikiran yang tinggi untuk memahami makna daripada teks yang bercetak (Cohen, 1990).
Membaca merupakan suatu proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca ataupun proses membina jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman latar si pembaca (Anderson dan Pearson, 1984).
Membaca boleh dilihat sebagai proses memilih dan mengambil tindakan apabila pembaca menyesuaikan proses membaca dengan tujuan dan teks yang dibacanya. (Anderson, Hiebert, Scott dan Wilkinson, 1985). Proses yang menentukan apakah tujuan dan tindakan yang akan diambil ini berlaku serentak dengan proses membina makna daripada bahan yang dibaca.
Menurut Tinker 1952, membaca itu ada tiga proses yang berlaku iaitu:
(1) Pengiktirafan perkataan simbol,
(2) Menarik balik pengalaman yang berkaitan dengannya, dan
(3) Pembinaan semula pengetahuan untuk menggabungkan idea baru yang terkandung dalam bahan bacaan.
Berdasarkan pendapat dan pandangan para tokoh di atas, secara ringkasnya membaca ialah proses yang dilakukan oleh pembaca itu sendiri untuk mentafsirkan dan memberikan makna terhadap bahan bacaan terutama bahan yang berbentuk teks sebelum menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dalam membuat keputusan terhadap apa yang dibaca. Proses membaca adalah satu proses membina jambatan antara maklumat yang terdapat pada permukaan bertulis dengan maklumat yang terkandung dalam pemikiran si pembaca. Semakin banyak maklumat yang diperoleh oleh pembaca dalam pemikirannya tentang perkara yang terkandung dalam bahan yang dibaca, semakin mudah proses pemahaman berlaku.
No comments:
Post a Comment