Mengapakah Teknik Preview Teks digunakan semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)?
Di negara barat khususnya, penggunaan teknik ini akan didedahkan kepada pelajar semasa P&P berlangsung. Penggunaan teknik ini adalah sama seperti panduan jangkaan yang bermaksud pemahaman pembaca dapat ditingkatkan apabila pembaca mengaitkan pengetahuan latar dengan bahan bacaan dan seterusnya mereka ini akan berminat dengan topik yang dibaca. Hal ini telah dinyatakan oleh Yahya (2003) bahawa bahan cerita daripada pengalaman individu boleh digunakan dalam mengajar kemahiran pemahaman.
Hal ini bermakna, apabila P&P yang berlangsung dengan mengaitkan pengalaman dalam diri pembaca, maka pembaca akan lebih mudah memahami topik yang dibaca. Lantaran itu, teknik ini merupakan pendekatan baik yang berkeupayaan memberikan maklumat kepada pembaca supaya mereka akan membuat pemilihan bacaan dan pada masa yang sama mereka mempunyai rangka kerja untuk memahami watak-watak dan peristiwa dengan lebih jelas. Sebagai hasilnya, teknik ini dapat memupuk minat pelajar untuk membaca seterusnya menggalakkan kelancaran proses P&P. Justeru itu, hasil penyelidikan telah membuktikan keberkesanan penggunaan teknik ini terutamanya kepada golongan pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan.
Mengapakah Strategi Pengumpulan Kosa Kata digunakan di dalam kelas?
Strategi pengumpulan kosa kata direka untuk membantu pelajar menjana perbendaharaan kata yang hendak dipelajari dan menggunakan pengetahauan sedia ada pelajar untuk menambah kosa kata mereka. Menurut Hasnah Hamzah (1999) dalam kajiannya ‘Penguasaan Kosa Kata’ murid di luar bandar mempunyai keupayaan yang terhad dalam menulis karangan dan karangan yang dihasilkan mempunyai kualiti yang rendah berdasarkan umur berbanding dengan murid-murid yang tinggal di bandar. Fenomena ini berlaku adalah disebabkan oleh masalah penguasaan kosa kata bahasa tersebut. Tidak hanya murid sekolah, bahkan masyarakat dewasa sekalipun tidak akan mampu membina karangan yang berkualiti dan penulisan yang baik sekiranya masalah penguasaan kosa kata tidak diatasi. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hasnah Hamzah ini jelas menunjukkan kepada kita kepentingan untuk kita mempertingkatkan penguasaan kosa kata. Terdapat dua sebab mengapa straategi pengumpulan kosa kata dilaksanakan dalam kelas :
i. Meningkatkan Keupayaan Murid untuk Berkomunikasi dengan Baik
Penekanan tentang pentingnya pengajaran kosa kata atau perbendaharaan kata ialah bagi melatih murid untuk mengungkap ke dalam ayat yang lebih kompleks. Hal ini kerana, kosa kata merupakan faktor penting yang mempengaruhi keupayaan murid dalam pertuturan mereka.
ii. Menghasilkan Sebuah Penulisan yang Baik
Aspek penguasaan kosa kata dalam sesuatu penulisan sangat penting untuk menghasilkan sebuah penulisan yang baik. Kegagalan murid menguasai kosa kata yang luas dan menepati konteks menyebabkannya tidak dapat menyampaikan isi dengan baiknya. Isi yang mantap dan huraian yang baik dipengaruhi cara penyampaiannya. Penguasaan bahasa dan strategi menjawab soalan merupakan dua kriteria asas yang akan menentukan kejayaan murid. Tanpa penguasaan kedua-dua aspek itu, murid tidak mungkin dapat menghasilkan jawapan yang tepat dan mantap. Oleh itu, aspek penguasaan bahasa dari segi kosa kata amat penting kerana memberikan kesan terhadap penulisan karangan.
No comments:
Post a Comment