Kelebihan dan Kekurangan Teknik


Setiap yang wujud atau terjadi itu pasti ada kelebihan serta kekurangannya, begitu juga dengan teknik-teknik ini. Jadi mari kita lihat apakah kelebihan serta kekurangan yang terdapat dalam teknik-teknik ini. 


Kelebihan Teknik Preview Teks 

Penggunaan teknik Preview Teks mendatangkan beberapa kelebihan kepada diri pelajar. Menerusi penggunaan teknik tersebut, pelajar akan lebih bermotivasi untuk membaca sesuatu bahan bacaan (Ryder, 2003). Pengetahuan dan pengalaman sedia ada dalam diri pelajar ini telah membantu pelajar untuk melalui proses membaca dengan mudah. Pada masa yang sama, pelajar juga berkeupayaan memahami keseluruhan teks seterusnya mempunyai cara pemikiran dan pendapat sendiri dalam memahami isi kandungan teks yang cuba disampaikan oleh pengarang. Tambahan pula, dengan bimbingan daripada guru maka para pelajar dapat melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan.

            Selain itu, pelajar juga memupuk minat membaca dalam diri mereka. Graves (2003) berpendapat teknik ini bukan sahaja membantu para pelajar memahami teks semata-mata malahan dapat memperbaiki sikap mereka tentang bacaan teks. Penggunaan teknik yang memudahkan pelajar ini akan memberikan peluang kepada pelajar untuk membaca sesuatu teks dengan lebih mendalam yang seterusnya membantu meningkatkan pengetahuan mereka tentang bahan bacaan berkenaan. Akhirnya, mereka akan lebih berkomitmen tinggi dan menjadikan bahan bacaan tadi sebagai bahan yang bernilai atau memanfaatkan dirinya pada masa akan datang.


Kelemahan Teknik Preview Teks  

Walau bagaimanapun, penggunaan teknik ini mempunyai beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti. Pertamanya, keupayaan pelajar adalah berbeza-beza maka secara tidak langsung diri pelajar turut mempunyai tahap pembacaan yang berbeza-beza. Teknik ini digunakan bagi peringkat tinggi kerana golongan ini lebih matang dan cekap dalam melalui proses pembacaan dan mereka lebih mudah memahami kandungan teks. Sebaliknya, bagi segelintir kanak-kanak misalnya, mereka masih meniti pengalaman daripada persekitaran mereka dan melalui proses pembelajaran.

            Selain itu, setiap individu mempunyai kesediaan membaca yang berlainan dan ini bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan sedia ada dalam diri individu. Teknik ini memerlukan pembaca mempunyai latar pengetahuan terlebih dahulu kerana ia akan dikaitkan bahan bacaan yang bakal dibaca. Oleh sebab itu, perkara tersebut akan mendatangkan masalah kepada pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan latar atau pengalaman sedia ada kerana golongan ini dijangkakan tidak memahami keseluruhan teks yang dibaca. Justeru kelemahan ini dikhuatiri menjadikan perlaksanaannya dalam sesi P&P menjadi rumit.

Kelebihan Strategi Pengumpulan Kosa Kata

  1.  Meningkatkan kepekaan kepada kosa kata baharu dan kenikmatan belajar.
  2. Perkataan yang ada dalam pengalaman pembaca memudahkan mereka mempelajari perkataan   lain.
  3. Membantu pelajar membaca dengan lancar.
  4.  Sesuai untuk pelajar sekolah rendah. 


Kelemahan Strategi Pengumpulan Kosa Kata


  1.  Hanya sesuai untuk pelajar yang lemah dalam pengumpulan kosa kata.
  2.  Memerlukan tenaga pengajar yang berpengalaman untuk mempelajari kosa kata baharu.
  3. Kesilapan mentafsir kosa kata baharu menyebabkan pelajar tersilap tafsir makna yang sebenar.
  4.  Tidak semua kosa kata terdapat dalam kamus.


Cara Pengajaran Kosa Kata

Pengajaran Kosa Kata Menggunakan Visual Cues

Langkah 1: 
Dalam aktiviti yang pertama, guru memberi murid sekeping gambar untuk merangsang murid menjana  perkataan  yang berkaitan dengan gambar itu. Berpandukan gambar tersebut, murid menulis kosa kata yang sesuai. Aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan untuk memastikan setiap murid mendapat peluang untuk menjana sekurang-kurangnya satu idea.

Langkah 2:
Kemudian, setiap kumpulan tampil kehadapan dan berkongsi sekurang-kurangnya satu perkataan. Setelah selesai membina  perkataan bersama rakan-rakan yang lain, guru menyuruh pelajar mengenal pasti perkataan yang tergolong dalam kumpulan yang sama.

Langkah 3:
Guru memulakan aktiviti berkumpulan yang kedua. Murid menuliskan perkataan yang seerti atau seiras dengan perkataan yang mereka tulis. Mereka perlu membina roda perkataan, iaitu memberikan kata seerti atau seiras dengan perkataan dan menyertakan maknanya sekali. Setiap kumpulan dibenarkan menggunakan Kamus Dewan atau Kamus Pelajar untuk membantu mereka mencari makna perkataan serta menjana lebih banyak kata seerti.

Langkah 4:

Setelah itu, guru memilih beberapa kumpulan untuk mempersembahkan dapatan mereka. Guru meminta murid-murid yang lain menyumbangkan perkataan yang tidak disebutkan oleh kumpulan yang telah membuat pembentangan. Setelah guru mendapatkan semua perkataan yang seerti ataupun seiras pelajar di minta utnuk menghuraikan maksud kedua-dua perkataan yang mereka pilih.

No comments:

Post a Comment